Tuesday 22 November 2022

Apa itu Endometriosis




Endometriosis ialah satu keadaan yang tidak merbahaya tetapi boleh menyebabkan kesakitan dan pelbagai masalah lain yang kerapkali mengganggu pengeluaran benih, serta menyekat saluran peranakan wanita.


Mengenali Rahim (uterus)


Rahim wanita terdiri daripada tiga lapisan iaitu perimetrium (lapisan luar), myometrium (otot atau lapisan tengah), dan endometrium (lapisan dalaman).


Lapisan endometrium ini terdiri daripada beberapa lapisan termasuk sel seakan sel kulit, sel darah, ruang tisu dan kelenjar.


Endometrium menebal pada saat ovulasi (pelepasan telur dari ovari).


Telur yang dipersenyawakan akan melekat pada dinding endometrium ini. Jika pembenihan tidak berlaku, selaput endometrium akan meluruh semasa haid.


Ia keluar sebagai  ‘darah haid’ setelah bercampur dengan darah dari rahim serta kuman-kuman bakteria.


Penyakit Endometriosis

Endometriosis pula ialah satu keadaan dimana selaput endometrium ini bukan sahaja tumbuh didalam rahim, tetapi juga diluar rahim seperti pada salur fallopian, ovari atau usus-usus kecil atau besar. Ia dipanggil implan.­­


Memandangkan implan ini terbentuk diluar rahim, ia mengalami kesukaran keluar daripada badan sewaktu haid dan menyebabkan kesakitan.

Lama- kelamaan, darah akan berkumpul dan membentuk ‘cysts’  serta menyebabkan perekatan (adhesion) yang menyukarkan pembenihan.


Kesan Endometriosis


Endometriosis boleh menyebabkan pendarahan yang tidak normal, segugut, kesakitan pada bawah perut dan pinggang, , keguguran, gangguan kencing, dan lain-lain. Tetapi  ada wanita yang menghidap endometriosis tidak mengalami sebarang gejala. Tahap kesakitan tidak berkait dengan betapa teruknya endometriosis yang dialami.


Walaubagaimanapun, masalah ini boleh diatasi dengan rawatan yang sewajarnya.


(pengetahuan ini disalin semula oleh saya dan dikongsi semula bagi tujuan simpanan saya, hanya kerana penjelasan ini sahaja yang difahami oleh saya. beberapa hari lepas sy disahkan ada endometriosis. Semoga segalanya dipermudahkan) 

Wednesday 2 February 2022

SALING MEMULIAKAN

 


Isteri muliakan suami, bukan bermakna suami boleh memperlakukan  isteri sesuka hati. Tetapi  suami yang mulia adalah suami yang juga memuliakan isterinya. Meletakkan isterinya di tempat yang selayaknya sebagai isteri. Seorang suami yang mulia, sentiasa takut kepada Allah dalam hal ehwal, hak, tanggungjawab dan kebajikan isterinya. Apatah lagi jika ia berpoligami. Jangan sesekali mengambil lewa atau bermudah - mudah dalam urusan isteri - isterinya. 

Apabila seorang suami mengambil keputusan untuk berpoligami, suami hendaklah mengambil sikap warak dan berhati - hati dalam mentadbir institusi yang di binanya itu.


Suami  memuliakan isterinya bukanlah bermakna isteri boleh meminta apa sahaja  mengikut hawa nafsunya. Merasakan suami adalah milik sepenuhnya sehingga sanggup menzalimi suami serta madu andai ia di poligamikan. Poligami adalah satu perkara yang sangat di benci oleh ramai isteri. 

Ini menunjukkan kepada kita bahawa betapa ketauhidan dan kemantapan aqidah sangat rendah di kalangan para isteri. Jauh dari Allah walau mereka sangat menjaga solat, rajin berpuasa sunat , banyak membaca al - quran, menutup aurat dengan sempurna dan sangat solehah pada zahirnya.


Anak memuliakan ibu bapa, bukanlah bermakna ibu bapa boleh sesuka hati mengarah anak mengikut kemahuan mereka. Tetapi ibu bapa yang mulia adalah menunaikan hak dan tanggungjawab dengan menjaga amanah dengan sebaik - baiknya. 


Ibu bapa yang memuliakan anak - anaknya bukanlah bermakna anak - anak boleh merasakan diri mereka tuan di dalam rumah ibu bapa mereka. Bukanlah bermakna mereka boleh  menunjuk bijak di hadapan ibu bapa. Tetapi anak yang mulia adalah anak yang sentiasa merendah diri di hadapan ibu bapa walaupun ibu bapanya buta huruf.  Tidak berbicara dengan ibu bapa seolah ibu bapa itu bodoh kolot. Sebaliknya tutur bicaranya adalah selembut - lembut suara dan sehalus - halus tutur kata. 


Begitulah sebaliknya duhai diri, suami dan sahabatku sekelian. 

Semoga Allah memuliakan para suami, isteri, ibu bapa dan anak - anak yang saling memuliakan.


ومكرو ومكر الله والله خير الماكرين 🌺

#CatatanUmmiNajihah


*content diambil drpd Facebook 'Niza Ummi Najihah' 

Monday 1 February 2021

Buatmu wanita




Andai kau dihina lantaran engkau seorang janda. Allah SWT memelukmu dengan kisah Atiqah binti Zaid yang diangkat martabatnya apabila sesiapa yang dikahwininya menemui syahid (matlamat yang menjadi impian para muslim) untuk kau teruskan melangkah ke hadapan..


Andai kau dikurniakan suami yang sentiasa diuji, Allah SWT menghamparkanmu kisah Saidatina Khadijah yang sentiasa berada di sisi Rasulullah SAW dalam menyampaikan dakwah untuk kau terus setia dan tabah..


Andai kau diuji suamimu derhaka kepada Allah SWT, Allah SWT memujukmu dengan kisah Asiah isteri Firaun yang membulatkan hatinya kepada Allah SWT untuk kau terus bersabar.


Andai kau diejek lantaran engkau masih bujang ketika usiamu sudah lewat, Allah SWT menghantarkanmu kisah Rabiatul Adawiyah wanita sufi untuk kau mengubati hati.. 


Andai kau diperlekehkan lantaran dirimu masih belum punyai zuriat, Allah SWT memujukmu dengan kisah Siti Sarah yang menimang zuriat di usia senja untuk kau terus tabah menunggu saat yang tepat untuk kau punyai permata hati..


Andai kau dibebani menjadi ibu tunggal, Allah SWT menyelitkan kisah Siti Hajar di padang pasir berseorangan bersama anaknya Nabi Ismail untuk kau terus cekal..

Andai kau disangkal apabila berada di medan juang, Allah SWT menyantunimu kisah Nusaibah binti Kaab,srikandi yang menjadikan tubuhnya sebagai perisai Rasulullah SAW untuk kau terus bersemangat..


Andai kau diperli menuntut ilmu ke tahap tertinggi, tetapi akhirnya tetap berada di ceruk dapur, Allah SWT mengzahirkan kehebatan Saidatina Aishah dalam ilmunya untuk kau terus belajar..


Andai kau diuji dengan fitnah yang tidak mampu untuk kau pertahankan dirimu, Allah SWT menyelimutimu dengan kisah Maryam binti Imran yang terus bersabar dengan fitnah ke atasnya untuk kau terus beriman dan bertaqwa kepadaNya..


Andai kau merasakan doamu tidak dimakbulkan, Allah SWT menghadiahkanmu kisah Khaulah binti Tha'labah yang digelar Wanita yang didengar keluhannya dari langit ketujuh supaya kau tidak berputus asa dalam berdoa..


Andai kau tiada daya dan lemah jiwa tatkala dirimu kehilangan anak, Allah SWT membelaimu dengan kisah Kabsyah bin Rafi' yang kehilangan anaknya di medan Uhud untuk kau terus redha..


Andai kau penat dengan urusan rumahtanggamu, Allah SWT memperlihatkanmu kisah Saidatina Fatimah yang mengadu perihal kepenatannya kepada Rasulullah SAW, lantas Rasulullah SAW mengajarkannya zikir yang dikenali sebagai zikir fatimah untuk kau terus berkhidmat dalam rumahtanggamu..


Satu persamaan dari Srikandi-srikandi Islam ini, mereka tidak sesekali berputus asa dengan rahmatNya.. Sentiasa terus bertawakal kepadaNya.. Dan meninggikan lagi ketaqwaan mereka kepadaNya..


Buatmu wanita yang sentiasa diuji.. Allah itu Maha Penyayang.. Dia yang lebih mengetahui keadaan dirimu.. Letakkan pengharapan dan pergantunganmu kepadaNya.. Moga kalian sentiasa berada dalam pelukan cintaNya..


Alhamdulillah


Kredit: Amet Utaqa