Wednesday 2 February 2022

SALING MEMULIAKAN

 


Isteri muliakan suami, bukan bermakna suami boleh memperlakukan  isteri sesuka hati. Tetapi  suami yang mulia adalah suami yang juga memuliakan isterinya. Meletakkan isterinya di tempat yang selayaknya sebagai isteri. Seorang suami yang mulia, sentiasa takut kepada Allah dalam hal ehwal, hak, tanggungjawab dan kebajikan isterinya. Apatah lagi jika ia berpoligami. Jangan sesekali mengambil lewa atau bermudah - mudah dalam urusan isteri - isterinya. 

Apabila seorang suami mengambil keputusan untuk berpoligami, suami hendaklah mengambil sikap warak dan berhati - hati dalam mentadbir institusi yang di binanya itu.


Suami  memuliakan isterinya bukanlah bermakna isteri boleh meminta apa sahaja  mengikut hawa nafsunya. Merasakan suami adalah milik sepenuhnya sehingga sanggup menzalimi suami serta madu andai ia di poligamikan. Poligami adalah satu perkara yang sangat di benci oleh ramai isteri. 

Ini menunjukkan kepada kita bahawa betapa ketauhidan dan kemantapan aqidah sangat rendah di kalangan para isteri. Jauh dari Allah walau mereka sangat menjaga solat, rajin berpuasa sunat , banyak membaca al - quran, menutup aurat dengan sempurna dan sangat solehah pada zahirnya.


Anak memuliakan ibu bapa, bukanlah bermakna ibu bapa boleh sesuka hati mengarah anak mengikut kemahuan mereka. Tetapi ibu bapa yang mulia adalah menunaikan hak dan tanggungjawab dengan menjaga amanah dengan sebaik - baiknya. 


Ibu bapa yang memuliakan anak - anaknya bukanlah bermakna anak - anak boleh merasakan diri mereka tuan di dalam rumah ibu bapa mereka. Bukanlah bermakna mereka boleh  menunjuk bijak di hadapan ibu bapa. Tetapi anak yang mulia adalah anak yang sentiasa merendah diri di hadapan ibu bapa walaupun ibu bapanya buta huruf.  Tidak berbicara dengan ibu bapa seolah ibu bapa itu bodoh kolot. Sebaliknya tutur bicaranya adalah selembut - lembut suara dan sehalus - halus tutur kata. 


Begitulah sebaliknya duhai diri, suami dan sahabatku sekelian. 

Semoga Allah memuliakan para suami, isteri, ibu bapa dan anak - anak yang saling memuliakan.


ومكرو ومكر الله والله خير الماكرين 🌺

#CatatanUmmiNajihah


*content diambil drpd Facebook 'Niza Ummi Najihah' 

No comments:

Post a Comment