Sunday 8 March 2020

Apakah itu ADHD..?




ADHD (Attention Deficit Hyperactivity Disorder) atau Gangguan Kurang Daya Tumpuan Hiperaktiviti adalah merujuk kepada suatu kecelaruan perkembangan yang berlaku sejak zaman kanak-kanak seperti kurang tumpuan atau terlalu aktif berbanding dengan keadaan yang biasa diperhatikan pada individu di peringkat perkembangan normal (Azizi Yahaya et al., 2006). Ianya mengganggu perkembangan fungsi-fungsi eksekutif dan boleh berterusan sehingga usia remaja dan dewasa. Tanda-tandanya secara umum adalah termasuk kesukaran memberi perhatian (inattentif), kesukaran mengawal perilaku (impulsif) dan hiperaktif.
.
Berdasarkan penyelidikan metaanalisis 175 kajian di seluruh dunia, purata kadar kelaziman ADHD pada kanak-kanak yang berumur 18 tahun ke bawah keseluruhannya dianggarkan sebanyak 7.2% iaitu kira-kira 129 juta orang kanak-kanak di serata dunia yang mempunyai ADHD (Thomas et al., 2015). Purata kadar kelaziman ADHD dewasa di seluruh dunia pula dianggarkan sebanyak 3.4% berdasarkan sebuah kajian penyaringan ke atas lebih sepuluh ribu orang dewasa di sepuluh buah negara di Amerika, Eropah dan Timur Tengah (Fayyad et al., 2007). Purata kadar kelaziman ADHD kanak-kanak dalam negara adalah dianggarkan sebanyak 3.9% daripada jumlah kanak-kanak berumur 18 tahun ke bawah di Malaysia berdasarkan laporan kajian nasional NHMS III pada tahun 2006. Setakat ini tiada lagi kajian yang menganggarkan kadar kelaziman ADHD dewasa di Malaysia.
.
❓Bagaimanakah ADHD dikenalpasti❓
.
Pengamal kesihatan profesional di seluruh dunia biasanya menggunakan garis panduan dalam Manual Diagnostik dan Statistik Persatuan Psikiatrik Amerika edisi Kelima (DSM-V) untuk mendiagnosis ADHD. Piawai diagnostik ini membantu memastikan seseorang itu didiagnosis dan dirawat dengan sewajarnya untuk ADHD. Penggunaan piawai yang sama dalam komuniti juga membantu menentukan bilangan kanak-kanak dan orang dewasa yang mempunyai ADHD serta impaknya terhadap kesihatan awam sesebuah komuniti.
.
Berdasarkan Manual DSM-V, tanda ADHD boleh dibahagikan kepada dua kumpulan seperti dibawah. Sila ambil perhatian bahawa senarai gejala-gejala yang diterangkan adalah sebagai rujukan sahaja. Hanya pengamal kesihatan terlatih yang boleh mendiagnosis atau mengesahkan ADHD.
.
🔴 Tanda Kurang Memberi Perhatian (Inattentif):
.
Sekurang-kurangnya 6 gejala telah wujud selama sekurang-kurangnya 6 bulan bagi kanak-kanak/remaja yang berumur 16 tahun ke bawah. Sekurang-kurangnya 5 gejala bagi mereka yang berumur 17 tahun ke atas.
.
1) Gagal memberikan perhatian teliti kepada butiran-butiran atau cuai dalam sesuatu aktiviti atau kerja.
2) Mempunyai kesukaran untuk mengekalkan perhatian semasa bermain, belajar atau bekerja.
3) Kelihatan seperti tidak mendengar apabila kita bercakap dengannya dan perlu dipanggil banyak kali untuk mendapatkan perhatian.
4) Biasanya sukar mematuhi arahan dan jarang dapat menghabiskan sesuatu tugas sendiri. Jika boleh biasanya mengambil masa sangat lama, ini termasuk kerja sekolah mahupun aktiviti kehidupan harian seperti mandi dan makan.
5) Sukar mengatur dan mengurus aktiviti atau tugas.
6) Kerap mengelak, tidak suka atau keberatan hendak melakukan sesuatu tugas yang memerlukan tumpuan yang lama.
7) Sering kehilangan mainan, tugasan, pensil, buku, atau alat-alat yang diperlukan dalam sesuatu aktiviti atau kerja.
8) Tumpuan mudah terganggu dengan persekitaran.
9) Mudah lupa walaupun tidak sepatutnya jika mengikut usia dan keupayaan.
.
🔴 Tanda Hiperaktif-Impulsif:
.
Sekurang-kurangnya 6 gejala telah wujud selama sekurang-kurangnya 6 bulan bagi kanak-kanak/remaja yang berumur 16 tahun ke bawah. Sekurang-kurangnya 5 gejala bagi orang dewasa yang berumur 17 tahun ke atas.
.
1) Seringkali gelisah dan tidak boleh duduk diam dan jika duduk, tangan atau kaki bergerak (digoyangkan).
2) Sering meninggalkan tempat duduk sebelum waktunya.
3) Keterlaluan berlari atau memanjat dalam situasi yang tidak sesuai.
4) Kesukaran bermain secara senyap.
5) Sentiasa bergerak dan bertindak seolah-olah “dipacu oleh motor”.
6) Bercakap banyak yang berlebihan.
7) Kerap menjawab sebelum soalan habis ditanya.
8- Mengalami kesukaran menuggu giliran.
9) Kerap manyampuk atau mengganggu orang lain.
.
🔴 Di samping tanda-tanda di atas, syarat-syarat berikut mestilah dipenuhi:
• Terdapat beberapa gejala inattentif atau hiperaktif-impulsif yang berlaku sebelum usia 12 tahun.
• Beberapa gejala hadir dalam dua atau lebih domain kehidupan (contohnya: di rumah, sekolah atau tempat kerja, bersama kawan atau ahli keluarga di dalam aktiviti yang berlainan).
• Terdapat bukti yang jelas bahawa gejala tersebut mengganggu atau mengurangkan kualiti serta fungsi kehidupan sosial, sekolah, atau kerja.
• Gejala tidak berlaku hanya semasa gangguan psikiatrik lain dan gejala tersebut tidak dapat dijelaskan oleh gangguan psikiatrik yang lain (contohnya: Kecelaruan Mood, Kecelauran Keresahan, dll).
.
🔵 Jenis-jenis ADHD 🔵
.
Berdasarkan gejala-gejala yang telah diterangkan, tiga jenis (manifestatsi) ADHD boleh berlaku:
1⃣ Manifestasi Gabungan: gejala-gejala yang mencukupi bagi kedua-dua kumpulan inattentif dan hiperaktif-impulsif hadir sejak lebih 6 bulan yang lalu.
2⃣ Manifestasi Inattentif Dominan (juga dikenali sebagai ADD, Attention Deficit Disorder): gejala-gejala inattentif yang mencukupi, tetapi tidak memenuhi gejala hiperaktif-impulsif, hadir sejak lebih 6 bulan yang lalu.
3⃣ Manifestasi Hiperakti-Impulsif Dominan: gejala-gejala hiperaktif-impulsif yang mencukupi, tetapi tidak memenuhi gejala inattentif, hadir sejak lebih 6 bulan yang lalu.
.
Disebabkan gejala-gejala boleh berubah dari masa ke masa mengikut perkembangan individu, jenis manifestasi ADHD boleh berubah dari masa ke masa juga.
.
❓Mengapa perlu diberikan rawatan seawal mungkin❓
.
ADHD boleh memberi kesan besar dalam pencapaian akademik, perkembangan sosial dan peningkatan kerjaya seseorang. Gangguan ini lebih sukar dirawat jika masalah ini hanya dikesan ketika sudah meningkat remaja kerana sudah menjadi sebahagian daripada diri remaja tersebut.
.
Sebenarnya, tiada rawatan tunggal yang khusus dapat merawat ADHD. Dalam kebanyakan kes, ADHD sebaik-baiknya dirawat dengan kombinasi ubat, terapi perilaku serta pengstrukturan persekitaran. Pelan rawatan ADHD yang ideal perlu melibatkan pemantauan yang rapi, rawatan susulan secara berterusan dan perubahan pelan rawatan mengikut keperluan semasa individu tersebut.
.
❓Bagaimana mendapatkan rawatan❓
.
Jika anda sebagai ibu bapa prihatin terhadap gejala-gejala ADHD yang dilihat pada anak anda ataupun anda sendiri mengesyaki anda mempunyai gejala-gejala ADHD, bawalah anak anda atau diri anda ke klinik yang terdekat untuk penilaian awal. Sekiranya perlu, doktor akan menyediakan surat rujukan bagi penilaian lanjut oleh pakar profesional.
.
Jika berkemampuan, anda boleh terus membuat temu janji untuk berjumpa pakar profesional di hospital swasta atau pusat perkhidmatan psikologi tanpa surat rujukan. Penilaian menyeluruh bagi diagnosis ADHD hanya boleh dilakukan oleh pakar psikiatri (psychiatrist), pakar psikologi klinikal (clinical psychologist) dan pakar perkembangan kanak-kanak (developmental paediatrician).
.
Ditulis oleh,
Dr Arifah Abd Rahim
Doktor Kesihatan Awam
.
.
RUJUKAN
1 American Psychiatric Association. (2013). Diagnostic and statistical manual of mental disorders (5th ed.). Arlington, VA: American Psychiatric Publishing.
2 Azizi Yahaya et al. (2006). Punca dan rawatan kecelaruan tingkah laku. PTS Professional.
3 Thomas, Rae et al. (April 2015). Prevalence of Attention-Deficit/Hyperactivity Disorder: A Systematic Review and Meta-analysis. Pediatrics, 135(4), pp. e994–e1001.
4 Fayyad J. et al. (May 2007). Cross-national prevalence and correlates of adult attention-deficit hyperactivity disorder. British Journal of Psychiatry, 190(5):402–409.
5 Toh et al. (2006). Psychiatric Morbidity in Children and Adolescents in National Health and Morbidity Survey III. Ministry of Health Malaysia.

No comments:

Post a Comment