Sunday 31 May 2020

3 Ciri Kanak-Kanak ADHD



1. Hiperaktif - Kanak-kanak ADHD #tidak semestinya hiperaktif. Mereka yang tidak hiperaktif ialah kanak-kanak ADHD Jenis Inattentif. Bagi kanak-kanak ADHD yang hiperaktif, mereka ini sangat cergas seolah-olah mereka mempunyai tenaga 2 kali ganda. Mereka sering berjalan, berlari-lari, memanjat dan tidak boleh duduk diam. Walaupun terlibat dalam aktiviti senyap, mereka kelihatan resah sambil menggerakkan tangan dan menggoyangkan kaki. Ciri hiperaktif kanak-kanak ADHD perempuan tidak semestinya sama seperti kanak-kanak ADHD lelaki. Hiperaktif bagi kanak-kanak ADHD perempuan adalah lebih kepada percakapan. Mereka suka bercakap secara berlebihan atau sukar untuk berhenti bercakap. Mereka pandai bercerita dan pandai meniru gaya/fesyen/watak tertentu.

2. Tumpuan yang singkat - Ini merupakan ciri #utama kanak-kanak ADHD. Mereka tidak dapat memberi tumpuan yang lama semasa guru sedang mengajar dan juga semasa sesiapa sahaja sedang bercakap dengan mereka. Bagi kanak-kanak ADD atau ADHD Jenis Inattentif, mereka sering kelihatan tidak fokus, mudah hilang tumpuan dan selalu mengelamun/berangan. Sama ada hiperaktif ataupun tidak, tumpuan yang dapat diberi oleh kanak-kanak ADHD biasanya 5 - 15 minit sahaja (mengikut usia). Oleh sebab itu, mereka menghadapi kesukaran untuk menyelesai dan menyiapkan sesuatu aktiviti/tugasan mengikut arahan, peraturan dan tempoh masa yang telah ditetapkan. Mereka banyak melakukan kesilapan/kesalahan dalam kerja sekolah. Mereka juga mudah lupa walaupun ia tidak munasabah berdasarkan IQ atau usia mereka. Malah tidak hairan jika mereka sering kehilangan alat tulis setiap kali ke sekolah.

3. Kurang sabar - Ciri ini amat ketara bagi kanak-kanak ADHD Jenis Hiperaktif-Impulsif dan Jenis Gabungan. Mereka sering kurang sabar dalam kehidupan seharian. Mereka tidak suka menunggu dan mahu semuanya cepat sahaja. Mereka juga cepat kecewa dan mudah beremosi/tantrum. Sikap kurang sabar mereka berkait dengan masalah impulsiviti, iaitu kesukaran untuk berhenti berfikir sebelum bertindak. Tanda-tanda impulsiviti mereka termasuklah sukar mematuhi peraturan secara konsisten, melakukan perbuatan/perkara yang tidak munasabah dan mengganggu/mengusik kanak-kanak lain secara agresif atau secara tiba-tiba. Mereka selalunya pantas memberi jawapan sebelum soalan yang lengkap diajukan dan cenderung untuk mengganggu perbualan orang lain. Jika tidak memahami masalah mereka, kanak-kanak ini akan dianggap nakal dan biadap. Selain itu, masalah impulsiviti menyebabkan mereka mudah mendapat kemalangan dan kecederaan.

No comments:

Post a Comment